Nota wacana

Definisi Wacana

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara umumnya wacana dapat dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat, penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa.



Namun menurut Asmah Haji Omar terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu :
I. satuan bahasa
II. terlengkap
III. mengatasi ayat atau klausa
IV. teratur atau tersusun rapi
V. berkesinambungan
VI. kohesi
VII. lisan atau tulisan
VIII. awal dan akhir yang nyata.



PENANDA WACANA

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Penanda wacana amat penting dalam sesebuah teks kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan atau kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan.

Penanda wacana juga merupakan unsur-unsur bahasa yang mewujudkan kohesi dan koheran antara satu teks dengan teks yang lain sehingga membentuk kesatuan. Terdapat banyak jenis penanda wacana dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu terdapat lima jenis penanda wacana, iaitu



1)     Penanda Leksikal

Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan antara perkataan atau frasa secara semantik (makna) dalam sesebuah wacana. Penanda leksikal melibatkan unsur pengulangan kata dan kebiasaannya pengulangan kata yang terlibat ialah pengulangan unsur yang sama, pengulangan sinonim, hiponim dan kolokasi. Pengulangan unsur yang sama bermaksud setiap kata diulang secara penuh tanpa melakukan sebarang perubahan. Contohnya seperti:

Ibu amat menyayangi Ahmad.
Kami juga amat menyayanginya.

Dalam ayat di atas, berlaku pengulangan secara penuh bagi perkataan menyayangi.


2)   Penanda rujukan

Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dan ganti nama tunjuk. Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga. Contoh rujukan ganti nama diri adalah seperti yang berikut:

Aku, Sani dan Udin akan ke Kuala Lumpur.
Kami bertolak pada pukul empat petang.

Perkataan kami merupakan kata ganti nama diri bagi aku, Sani dan Udin.

3)   Penanda penghubung

a)    Penanda penghubung 
berfungsi sebagai penjalin unsur-unsur linguistik seperti perkataan, frasa atau ayat yang terdapat dalam sesebuah wacana. Penanda penghubung terdiri daripada penghubung tambahan, tentangan, musabab dan tempoh.

b)    Penghubung tambahan 
merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Antara penghubung tambahan dalam bahasa Melayu ialah dan, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan selanjutnya. Contohnya :

Tugasnya sebagai wartawan di salah sebuah syarikat penyiaran benar-benar member pengalaman kepadanya kerana dia sering diberikan tugasan di luar Bandar. Malahan dia juga berpeluang melawat negara-negara luar seperti Thailand dan juga India untuk menjayakan rancangan dokumentari itu.

c)    Penghubung tentangan
 ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu ayat yang baru diperkatakan dengan ayat sebelumnya dalam sesebuah wacana. Antara contoh penanda penghubung tentangan ialah tetapi, sebaliknya, namun dan walau bagaimanapun.

Contohnya :

Penghuni benua Amerika suatu ketika dahulu bukanlah kaum kulit putih dan berambut perang. Sebaliknya, mereka merupakan kaum yang berambut panjang dan hitam.

Penanda penghubung musabab ialah penanda yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab dan oleh itu.

Contohnya:

Dia kesuntukan masa. Oleh sebab itu, dia perlu menyiapkan tugasannya secepat mungkin.

Penanda penghubung tempoh ialah penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda penghubung tempoh ialah pertama, kedua, ketiga, kemudian, selanjutnya dan sebagainya.

Contohnya:

Pada peringkat awal pendakian, ramai di kalangan ahli kami yang kepenatan. Kemudian, kami berhenti rehat untuk jangka waktu yang panjang dan selepas itu, kami teruskan pendakian. Akhirnya, berbekalkan semangat juang yang tinggi kami berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu tepat jam 6.30 pagi.

1. Tambahan
dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping.
2. Urutan
Pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya.
3. Penyataan semula
iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan.
4. Contoh
contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai.
5. Rumusan
rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata
6. Tempat
berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan.
7. Waktu
apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya.
8. Sebab dan kesan
oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi, dengan itu.
9. Bandingan
seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan.
10. Pertentangan
tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan.
11. Pengesahan
sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya.

4)  Penanda penggantian.
Penggantian ini dikenali sebagai Substitution. Penggantian adalah pengambilan alihan atau pertukaran bagi sesuatu segmen kata, frasa atau klausa oleh kata ganti yang lainnya.
Penanda penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan klausal. Penggantian nominal ialah penggantian yang dilakukan terhadap kata nama tau frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan penggantian terhadap kata atau frasa kerja dan penggantian klausa pula melibatkan penggantian sebahagian daripada ayat. Contohnya :

Saya sengaja tidak mahu menebang pokok durian itu.
Nanti baru saya lakukan.

Dalam contoh di atas, perkataan lakukan menggantikan sebahagian ayat sebelumnya, iaitu menebang pokok durian itu. Penggantian seperti ini merupakan penggantian klausa.

5)   Elipsis

Elipsis melibatkan pengguguran kata atau frasa yang telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Ini beerti pengguguran kata atau frasa melibatkan maklumat yang telah diketahui oleh pembaca atau pendengar berdasarkan konteksnya.

Contoh 1 :

Pemuda itu kelihatan resah.
Tidak tahu arah mana yang harus ditujunya.

Dalam contoh di atas, frasa pemuda itu tidak diulang dalam ayat kedua. Walaupun ayat kedua tidak menyatakan unsur yang sama seperti ayat pertama, tetapi ayat kedua ini masih difahami.












Comments

Popular posts from this blog